Tuesday, October 28, 2008

Ulul Albab: Syariah berkesan atasi krisis kewangan global



BANK berasaskan Islam memiliki perlindungan yang lebih baik daripada pengaruh kredit tak berbayar yang saat ini menimpa bank konvensional.

Produk perbankan Islam terbukti mampu tangani kemelut ekonomi dalam sistem pasaran kapitalis


JIKA kita boleh tamsilkan keadaan sakit kewangan global hari ini dengan sakitnya satu dekad lalu, penulis boleh umpamakan dengan keadaan sakit seorang anak dan seorang ayah. Dalam krisis kewangan global akhir milinium lalu yang sakit adalah anaknya.

Oleh itu, ia masih boleh diubati oleh si ayah. Tapi yang sakit pada hari ini adalah ayahnya. Bagaimana dia boleh mengubati diri sendiri. Krisis global akhir 90-an adalah krisis kewangan yang berayahkan bank manakala krisis hari ini adalah krisis perbankan yang di dalamnya ada wang. Sudah tentu dampak dan imbasnya akan jauh dan berbeza.

Negara dunia hari ini menawarkan diri untuk menjamin semua simpanan bank mereka di mana dalam sistem ekonomi kapitalis ia adalah sesuatu yang tabu. Tapi kerana ingin menyelamatkan kepentingannya, maka yang tabu ini menjadi halal dan boleh. Justeru, yang tabu ini adalah amalan yang sememangnya satu daripada tonggak sistem kewangan Islam dalam bentuk wadi'ah yad damanah, simpanan dengan jaminan. Bukankah sudah tiba masanya untuk menerapkan sistem perbankan dan kewangan Islam?

Mungkin kerana penulis mengajar subjek Perbankan dan Kewangan Islam untuk pelajar Diploma Perundangan Islam dan Guaman Syarie dan subjek al-Masarif al-Islamiyyah (Perbankan Islam) untuk pelajar Sarjana Syariah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei, maka Dekannya, Dr Ayman Salih yang berasal dari Jordan menghantar satu e-mel berkaitan dengan isu hangat krisis perbankan global ini.

Dalam e-mel berkenaan disertakan tulisan Muhammad al-Nuri bertajuk Kuttab Gharbiyun: Tatbiq al-Syariah al-Islamiyyah fi al-Majal al-Iqtisadi yunqiz Iqtisad al-Alam (Penulis-penulis Barat: Pelaksanaan Syariah Islam dalam bidang ekonomi menyelamatkan ekonomi dunia).

Dalam tulisan berkenaan dipaparkan perbincangan reaksi terhadap tulisan Ketua Pengarang majalah Challenges dalam lidah pengarangnya sebulan lalu bertarikh 12 September 2008 dengan tajuk Le pape ou le Coran (Pope atau al-Quran).

Majalah ekonomi terkemuka Eropah berbahasa Perancis itu membuat kejutan dengan tajuk rencana berkenaan di mana Ketua Pengarangnya, Vincent Beaufils menulis dan bertanyakan mengenai etika kapitalis dan peranan Kristian sebagai agama khasnya gereja Katolik yang memburukkan krisis dan mempermudahkan masalah faedah sehingga membawa dunia ke tepi jurang.

Beaufils menulis dengan bahasa yang penuh kemarahan dan menuduh pihak gereja serta memohon maaf kepada Pope Benedict XVI: "Saya fikir, dalam menghadapi krisis ini kita perlu lebih banyak membaca al-Quran daripada Bible demi untuk memahami apa yang benar-benar berlaku terhadap kita dan perbankan kita. Ini kerana jika pelaku perbankan kita mencuba untuk menghormati apa yang tertera dalam al-Quran mengenai ajaran dan hukumnya kemudian mereka menerapkannya sudah tentu bencana dan krisis ini tidak akan terjadi menimpa kita dan kita tidak akan sampai kepada suatu keadaan yang membimbangkan ini; kerana wang tidak melahirkan wang."

Begitu pula Ketua Pengarang Majalah Le Journal de Finance, Roland La Sceen, dalam pembukaan majalahnya awal bulan ini menulis lebih berani dan jelas dengan tajuk "Apakah Wall Street sudah layak untuk menerapkan prinsip-prinsip syariah Islam?" Dalam tulisan berkenaan, beliau menyeru akan betapa pentingnya menerapkan syariah Islam dalam bidang kewangan dan ekonomi untuk mengehadkan kemaraan krisis yang menggoncang pasaran global akibat permainan kotor ke atas prinsip-prinsip kontrak dan sangat berlebihan dalam transaksi-transaksi semu (palsu) yang haram.

Beliau mendedahkan bahaya yang menimpa sistem kapitalis dan merayu untuk mencari penyelesaian alternatif ke atasnya dengan memberikan beberapa jalan penyelesaian dan berada di urutan atas adalah penerapan syariah Islam walaupun ia bercanggah dengan adat istiadat Barat dan kepercayaannya.

Seorang penulis dan pengkaji wanita berasal dari Itali, Loretta Napolioni, baru-baru ini menulis buku bertajuk Iqtisad Ibn Awa (Ekonomi Ibnu Awa). Dalam buku ini, dijelaskan bahawa perbankan Islam menjadi alternatif yang sesuai bagi perbankan Barat dengan ranapnya bursa dunia dan krisis hutang di Amerika Syarikat.

Sistem perbankan konvensional sudah mula nampak keakutan penyakitnya dan memerlukan penyelesaian dari akar umbi.

Dalam laporannya, detik.com pada 22 Oktober lalu menulis: "Ketika bank-bank konvensional terlilit masalah akibat krisis kewangan, jumlah pelanggan Islamic Bank of Britain (IBB) meningkat lima peratus, termasuk pelanggan sektor pembiayaan yang naik menjadi 13 peratus. Di antara pelanggan baru itu, ramai pelanggan bukan Islam."

Pengarah Komersial IBB, Sultan Choudhury, berkata, orang kini beralih ke bank Islam kerana bank berasaskan Islam memiliki perlindungan yang lebih baik daripada pengaruh kredit tak berbayar yang saat ini menimpa bank konvensional. IBB, tambah Choudhury, tidak mengambil pinjaman berasaskan faedah daripada bank lain dan memiliki pelaburan berasaskan aset yang berkualiti tinggi.

Konsep syariah yang dilaksanakan dalam produk industri perbankan kini semakin bertambah dan meluas setelah wujudnya persaingan antara pengamal pasaran peringkat tempatan dengan pengamal pasaran antarabangsa.

Jika sebelum ini banyak produk perbankan Islam menggunakan konsep syariah yang terhad seperti wadi'ah termasuk yad al-damanah, murabahah, BBA, Inah dan bai al-dayn, kini banyak konsep syariah yang lain diguna pakai seperti ijarah, mudarabah, musyarakah dan tawarruq.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa pengamal perbankan Islam kini semakin bersedia dan memahami keperluan kepada mempertingkatkan kepelbagaian produk bagi memenuhi kehendak pelanggan yang memerlukan kepada produk kewangan Islam yang patuh syariah. Selain inisiatif pengamal pasaran, ulama Islam juga mula menunjukkan kefahaman mereka terhadap struktur produk yang lebih kompleks dan pelbagai.

Kontrak yang diamalkan dalam kewangan Islam umumnya terbahagi kepada dua jenis kontrak iaitu kontrak yang bersifat 'uqud musamma' dan 'uquq mustajiddah'. Kontrak yang lahir daripada 'uqud musamma' lazimnya mudah dilaksanakan kerana segala syarat yang perlu ada pada kontrak itu telah dibahaskan oleh ulama fikah terdahulu seperti jual beli, ijarah, salam dan sebagainya. Sementara kontrak yang bersifat mustajiddah, maka ia perlu kepada takyif fiqhi yang jelas dan ijtihad secara kolektif agar pelaksanaannya lebih menepati asas syarak.

Lazimnya kontrak yang bersifat mustajiddah lebih banyak diamalkan dalam konteks kewangan semasa antaranya murabahah li al-amir bi al-syira', ijarah muntahiyah bi tamlik, musyakah mutanaqisah, qard, mudharabah, wakalah bi istithmar dan sebagainya.

Dengan istilah produk kewangan Islam ini sudah cukup dibuktikan bahawa sistem kewangan Islam memang inovatif dan ia sesuai untuk keperluan manusia di setiap tempat dan masa. Di samping itu, sistem ini adalah sistem terapan dari pemahaman terhadap al-Quran dan hadis Nabi yang sudah pasti akan membawa keberkatan. Wallahu a'lam.


Bersama Abdurrahman Haqqi

Berita Harian [26 Oktober 2008]

sesungguhnya Allah telah mencipta sistem bagi kita di dunia ini dengan penuh sempurna...cukup sempurna, maka terpulang kepada kita mahkluk Allah untuk menilai, menerap dan menjiwai sistem yang telah Allah ciptakan buat umat-umatnya. Sesungguhnya, Allah sentiasa memudahkan segala urusan makhlukNya didunia ini dan setrusnya menjadi bekalan di akhirat kelak.

Wallahu a'lam.

No comments:

disinari bulan

disinari bulan
gambar diambil pada 19 Julai 2008 jam 9.30 pm

planning

a process that includes defining goals, establishing strategy, and developing plans to coordinate activities.

majlis aqiqah afeeq

majlis aqiqah afeeq